PUTRAJAYA, 13 Januari -Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih lagi sekadar khabar angin, begitu juga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).
Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin, pihaknya sentiasa mengadakan mesyuarat sebagai persediaan ke arah itu.
"Desas-desus pilihan raya ini bukan hanya di Johor, malah ada juga desas-desus mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bila ketetapannya, akan dibuat oleh pihak bertanggungjawab, saya selaku Setiausaha Agung BERSATU, sentiasa mengadakan mesyuarat dan memastikan supaya rakyat dalam negara tahu siapa untuk mereka pilih serta memilih kepimpinan yang lebih baik bagi kepentingan negara," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks KDN, di sini.
Beliau menggulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN untuk diadakan dalam masa terdekat.
Kerajaan negeri Johor bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad kini hanya mempunyai 28 kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia.
Pakatan Harapan pula mempunyai 27 kerusi.