PUTRAJAYA, 5 Julai - Semua pihak perlu berkempen secara sihat dan tidak menggunakan dakyah, fitnah serta unsur provokatif pada Pilihan Raya Kecik (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata peringatan tegas tersebut perlu diambil serius susulan terdapat aduan yang diterima oleh pihak Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tentang kewujudan perkara seumpamanya.
"Kita perlu berhenti berkempen pada 12 tengah malam ini dan pada masa sama, saya sampaikan peringatan tegas kepada semua pihak untuk mengelak daripada bermain dengan kandungan yang provokatif seperti aduan yang kita terima daripada beberapa individu di Sungai Bakap.
"Ini suatu tindakan yang jahat, bersifat provokatif dan ada nombor telefon di situ. Pihak MCMC dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan mengesan mereka di sebalik tindakan jahat ini. Sekiranya ini adalah usaha mana-mana pihak, ia akan makan diri," katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini.
PRK DUN Sungai Bakap esok menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Dalam perkembangan lain Fahmi berkata, kerajaan tidak menghalang siasatan lanjut pihak berkuasa terhadap agensi bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 diterbitkan semalam.
Jelasnya, perkara tersebut dibangkitkan Menterinya, Steven Sim dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.
Katanya, ia terpulang kepada menteri berkaitan untuk mengambil tindakan susulan.
"Yang menjadi keutamaan untuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah isu pengurusan ataupun tata kelola dan aspek kebertanggungjawaban akauntabiliti seperti yang telah dibangkitkan dalam audit kedua," kata Fahmi.