GEORGE TOWN, 29 Jun- Parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan akan berbincang dalam tempoh terdekat berhubung pemilihan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Nenggiri.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Itu mereka akan bincang dulu soal calon PRK DUN Nenggiri," kata Anwar kepada pemberita selepas merasmikan Menara Hasil di sini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK tersebut pada 17 Ogos ini.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing pada 3 dan 13 Ogos depan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata tiada sebarang keputusan membabitkan penyasaran subsidi lain dibuat setakat ini kecuali diesel.
"Kita tumpu soal diesel yang perlu kita teliti supaya pelaksanaan itu berkesan.
"Kalau ada kalangan pengguna yang rasa terjejas, harus dikemukakan.
"Saya tengok dalam konteks itu ditekankan dan yang lain belum ada apa-apa keputusan," kata Anwar.
Anwar mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan dakwaan awam berhubung kerajaan akan melaksanakan penyasaran RON95 dan pengapungan harga gula dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Anwar berkata peruntukan TEKUN Nasional akan ditambah sekiranya menunjukkan prestasi yang baik.
Malah Anwar berkata, kerajaan akan sentiasa membantu usahawan secara berterusan bagi memastikan perniagaan mereka berada pada tahap lebih baik.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan untuk tidak bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang tidak menjalankan amanah dengan baik terutama melalui pengurusan tatakelola agensi terbabit.
"Macam TEKUN, TEKUN ini sudah hadir 100 lebih syarikat-syarikat terlibat.
"PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana) kita bagi tumpuan dalam kerangka Ekonomi MADANI, kita memperkasa ekonomi rakyat.
"Dua hari lalu, kita dapat rating penilaian daripada SMP A-..tinggi," katanya selepas merasmikan Karnival Tekun Madani di Pulau Pinang.
Lebih 100 usahawan tekun menyertai karnival tersebut yang nyata memberi pulangan yang lumayan sepanjang tiga hari penganjurannya.