
PUTRAJAYA, 10 Mac– Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan inisiatif Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita), sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026, hari ini.
- Memperkasa akses sokongan wanita, terutamanya menangani konflik kekeluargaan dan kes keganasan rumah tangga.
- Menyediakan platform maklumat dan pemadanan perkhidmatan bagi sokongan krisis, memastikan bantuan pantas tanpa kerenah birokrasi.
- Menjamin penyelarasan bersepadu melalui kerjasama rentas kementerian serta insentif cukai SKSSR perkasakan wanita.
Jelasnya, inisiatif itu bertujuan memperkasa akses sokongan bagi wanita, terutama dalam menangani konflik kekeluargaan termasuk kes keganasan rumah tangga.
Selain itu, PRISMAnita menyediakan platform maklumat dan pemadanan perkhidmatan bagi menyokong wanita dalam situasi krisis, sekali gus memastikan bantuan disalurkan secara tepat tanpa kerenah birokrasi.
“PRISMANITA akan memudahkan akses kepada perkhidmatan yang lebih pantas, terselaras dan mesra mangsa, termasuk khidmat nasihat, kaunseling serta penyelarasan kes melibatkan pelbagai agensi,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di MITEC di sini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalannya, Lim Hui Ying dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Tambahnya, sokongan tersebut melibatkan kerjasama rentas kementerian dan jabatan bagi menjamin bantuan dapat diselaraskan secara bersepadu dan menyeluruh, melangkaui skop Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semata-mata.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan insentif pengecualian cukai kepada badan korporat melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan wanita di bawah Dasar Wanita Negara 2025-2030.
Tegas Datuk Seri Anwar, usaha memartabatkan wanita bukan sekadar slogan atau acara tahunan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui dasar, program serta komitmen berterusan kerajaan bagi meningkatkan kedudukan dan peranan wanita dalam pembangunan negara.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan mempertahankan institusi keluarga sebagai asas kekuatan masyarakat dalam menghadapi arus kemodenan dan transformasi teknologi.