fb fb fb fb fb

Prestasi perdagangan meningkat 8.3 peratus tempoh Januari-Februari 2024

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Mac - Prestasi perdagangan negara meningkat 8.3 peratus bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, berbanding tempoh sama pada tahun 2023.

Ini sekali gus, menyumbang pendapatan RM446.43 bilion kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata eksport barangan perkilangan menyumbang 3.9 peratus daripada nilai keseluruhan pertumbuhan tersebut.

"Eksport meningkat 3.9 peratus kepada RM233.74 bilion, disumbang oleh kenaikan eksport barangan perkilangan yang turut mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 3.4 peratus kepada RM196.75 bilion. Ini telah dipacu oleh peningkatan eksport bagi barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan serta keluaran petroleum," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini.

Tambah Anwar, langkah intervensi terus dipergiat bagi memperkukuh promosi eksport perdagangan menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Sementara itu, Anwar berkata kestabilan politik, dasar ekonomi MADANI yang jelas, serta langkah memudahkan perniagaan antara faktor peningkatan pelaburan ke Malaysia.

Impaknya, negara mencatat jumlah pelaburan tertinggi diluluskan dalam sejarah tahun lalu.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil kolaborasi jentera kerajaan yang diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

"Kita akui, Malaysia dapat tempat kerana politik stabil dan keduanya dasar ekonomi MADANI kita jelas, pelabur sama ada domestik atau asing mereka datang mereka tengok pelan kita jelas. Kepantasan dan kecepatan kelulusan kerana Malaysia ada tiga peringkat iaitu persekutuan, negeri dan perbandaran," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kerajaan masih terus memberi keutamaan kepada hasil bukan cukai ketika ini.

Faktor tersebut katanya merupakan cukai paling tinggi daripada pendapatan pelaburan.

Ini termasuklah melalui dividen daripada Petronas, Bank Negara Malaysia (BNM) serta Khazanah yang puratanya memperolehi hasil sekitar 50 peratus daripada hasil bukan cukai.
 
"Pada tahun 2023, pendapatan pelaburan mewakili 65 peratus daripada hasil bukan cukai dan saya setuju usaha tambahan termasuk transformasi untuk memastikan ada peningkatan pelaburan domestik, bila pelaburan domestik lebih rancak hasil bukan cukai pun harap dapat ditingkatkan," kata Anwar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN