KOTA BHARU, 1 Januari - Prestasi perbelanjaan untuk projek pembangunan persekutuan di Kelantan memberangsangkan, ia bagaimanapun memerlukan beberapa penyelesaian bagi mengatasi cabaran di peringkat pelaksanaan projek.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, antara isu pelaksanaannya ialah kebenaran merancang, ketersediaan tapak projek, utiliti, demografi dan akses masuk.
"Kemudian ada juga isu lewat kebenaran merancang, kebenaran masuk tapak, jadi perkara-perkara seperti ini memerlukan kerjasama antara agensi persekutuan dan agensi negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya projek itu dapat berjalan dengan baik dan lancar dan tidak lewat dilaksanakan," kata Shamsul.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN bersama-sama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini.
Mengulas lanjut katanya, antara projek pembangunan persekutuan yang memerlukan kerjasama daripada pihak negeri ialah Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dan Lingkaran Tengah Utama, proses PBT bagi kebanyakan pakej masih belum selesai.
Selain itu, projek pembinaan fasiliti untuk Sukan Malaysia (SUKMA) dengan kerja-kerja tanah bagi pembangunan infrastruktur dan pembangunan jalan masuk utama ke Kompleks Sukan Bukit Merbau mengguna pakai peruntukan negeri.
Agenda pembasmian kemiskinan di Kelantan turut mendapat perhatian dan fokus utama kerajaan melalui inisiatif kesejahteraan rakyat.
Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab untuk menyediakan dan memantau data kemiskinan bagi agensi pemberi bantuan secara langsung kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berstatus miskin dan miskin tegar.
Antara inisiatif kesejahteraan rakyat yang dilaksanakan bersama-sama agensi pemberi bantuan di Kelantan bertujuan menoktahkan sifar miskin tegar termasuk program Didik Kasih Madani (dKasih) dan program Kasih Ihsan Madani (i-care4U).
Hingga 16 Disember 2024, secara keseluruhan terdapat 454 projek termasuk 92 projek baharu yang diluluskan dalam Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Tahun 2024.