JOHOR BAHRU, 23 Ogos - Kementerian Pengangkutan berpuas hati dengan prestasi Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dalam mengendalikan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yakin PTP mampu mengekalkan prestasi tahun lalu dengan mengendalikan 11.2 juta TEU (twenty equivalent units).
Pencapaian itu katanya, boleh dicapai meskipun terkena tempias disebabkan perang Ukraine-Rusia yang berlarutan ketika ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada 15 pelabuhan tersibuk di dunia.
"Berdasarkan prestasi PTP setakat ini pelabuhan itu telah mengendalikan 6.89 juta TEU yang dijangka akan menjangkau 7 juta TEU pada hujung bulan ini.
"Melihat daripada segi trend, penghantaran kontena meningkat pada empat bulan terakhir disebabkan musim perayaan seperti Krismas, maka kita yakin mampu mencapai prestasi 11.2 juta TEU pada tahun lalu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Cares Keluarga Malaysia di Pelabuhan Johor, di sini.
Pihaknya meletakkan sasaran itu untuk dipenuhi sekali gus membuktikan kemampuan PTP yang menunjukkan peningkatan ketika kebanyakan pelabuhan dunia lain terkesan.
Pada tahun lalu, PTP mencatatkan jumlah kendalian sebanyak 11.2 juta TEU dengan nilai pertumbuhan 14 peratus, berbanding 9.8 juta TEU pada tahun sebelumnya.
Pencapaian itu meletakkan PTP antara 20 pelabuhan terbaik dunia dengan merekodkan pertumbuhan 1.4 juta TEU.
Sejak ditubuhkan, PTP telah berjaya mengendalikan lebih 148 juta TEU manakala Pelabuhan Pasir Gudang yang menjadi hub penyimpanan minyak kelapa sawit terbesar dunia mengendalikan 21 juta TEU.