SYDNEY, 13 November-Presiden Palau, Surangel Whipps Jr, menuduh China mencerobohi sempadan maritim negara Pasifik itu, sambil menyuarakan kebimbangan tentang kehadiran kapal-kapal penyelidikan China di perairan negara itu.
"Kami terus membangkitkan isu ini dan membuat aduan, tetapi mereka tetap menghantar kapal-kapal tersebut," kata Whipps, pemimpin pro-AS yang baru sahaja dipilih semula, kepada AFP dari pusat komersial Palau, Koror.
"Mereka secara berterusan tidak menghormati kedaulatan dan sempadan kami serta terus melakukan aktiviti-aktiviti ini," katanya pada Selasa, sehari selepas mengumumkan kemenangan dalam pilihan raya Presiden.
"Kali ini, sekali lagi, kapal-kapal China berada di zon ekonomi eksklusif kami tanpa diundang", katanya.
Presiden Whipps turut berkata bahawa pada awal tahun ini, pegawai-pegawai China memberi nama baharu kepada dua gunung bawah laut yang sudah pun dituntut oleh Palau, seolah-olah bertindak mencabar kedaulatan negara tersebut.
"Mereka kini menamakan beberapa gunung dan laut kami dengan nama-nama China. Kenapa? Mengapa mereka berbuat demikian?", jelasnya.
Palau, dengan jumlah penduduk sekitar 20,000 orang, merupakan salah satu daripada beberapa negara yang mengiktiraf tuntutan Taiwan sebagai sebuah negara berdaulat.
Tindakan tersebut telah menimbulkan kemarahan China, yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah berjaya memujuk beberapa negara Pasifik lain untuk memutuskan hubungan dengan Taiwan dan menyokong Beijing.-AFP