PUTRAJAYA, 2 Julai – Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim hari ini secara rasmi menamatkan perkhidmatan 18 tahun dalam institusi kehakiman negara.
Dalam sesi bersama media di sini, beliau meluahkan rasa syukur atas peluang dan pengalaman sepanjang perkhidmatannya sejak 2007.
“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat bersama insan-insan berdedikasi yang sentiasa menyokong saya dalam melaksanakan amanah sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan juga sebagai Hakim,” katanya.
Tan Sri Abang Iskandar juga menzahirkan penghargaan kepada pasukan kerja, rakan sejawat dan warga kehakiman yang menyumbang kepada kelancaran tugasnya.
Beliau turut mendoakan kejayaan generasi pelapis dalam meneruskan kecemerlangan institusi kehakiman negara.
Dilahirkan di Sibu, Sarawak pada 3 Julai 1959, beliau merupakan graduan Ijazah Undang-Undang Universiti Malaya pada tahun 1983.
Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada tahun 2007 seterusnya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2009.
Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali sebagai tokoh yang berpegang teguh kepada prinsip integriti dan keadilan.
Sebagai penghargaan atas sumbangannya, beliau telah dikurniakan pelbagai darjah kebesaran termasuk Panglima Setia Mahkota dan Darjah Datuk Amar dari Kerajaan Negeri Sarawak.