fb fb fb fb fb

Presiden Lula pertahan kedaulatan Brazil, kecam ahli politik 'pengkhianat'

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva / REUTERS

BRASILIA, 6 September - Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menegaskan pendirian mempertahankan kedaulatan negara dalam perutusan khas sempena Hari Kemerdekaan, sambil mengecam segelintir ahli politik yang disifatkan sebagai "pengkhianat".

“Mereka dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat Brazil, tetapi hanya mempertahankan kepentingan sendiri. Mereka adalah pengkhianat negara,” tegas Lula dalam siaran televisyen berdurasi enam minit itu.

Kenyataan itu dibuat ketika penyokong bekas Presiden Jair Bolsonaro mendesak negara luar mengenakan sekatan lebih keras terhadap Brazil, selain mengusulkan rang undang-undang kontroversi di Kongres yang memberi pengampunan kepada individu terlibat serangan terhadap institusi kerajaan pada 8 Januari 2023.

Jika diluluskan, undang-undang itu berpotensi menguntungkan Bolsonaro yang kini dibicarakan di Mahkamah Agung atas dakwaan cuba merancang rampasan kuasa, tuduhan yang dinafikan beliau.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjadikan kes berkenaan sebagai alasan utama mengenakan tarif 50 peratus terhadap pelbagai barangan Brazil serta membatalkan visa majoriti hakim Mahkamah Agung negara itu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE