fb fb fb fb fb

Presiden Kesatuan Ulama Sedunia adakan lawatan rasmi ke Malaysia

Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi/Foto wikipedia

PUTRAJAYA, 5 Julai-Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Prof. Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula 5 hingga 12 Julai 2024.

Beliau yang juga dikenali sebagai Sheikh Ali Al-Qaradaghi merupakan tokoh terkemuka dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam , Maqasid Shariah dan Pemikiran Islam.

Keilmuan beliau diiktiraf sebagai rujukan utama pelbagai institusi kewangan dan perbankan Islam dalam lapangan antarabangsa termasuk Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar menerusi satu kenyataan memaklumkan lawatan tersebut merupakan undangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengadaptasi pendekatan Maqasid Syariah dalam pentadbiran dan pemerintahan selain membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat negara ini.

Sepanjang lawatan rasmi itu Sheikh Ali Al-Qaradaghi, akan menyertai beberapa program yang telah disusun oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti Global Madani Forum, Konvensyen Akidah Ahli Sunah Wal Jamaah, Sesi Pertemuan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Sesi khas bersama Asatizah dan Ilmuan Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD