IPOH, 3 Oktober - Premis yang masih mempunyai lesen sah untuk menjual rokok elektronik atau vape di Perak dibenarkan untuk beroperasi sehingga lesen itu berakhir.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, lebih 60 premis masih beroperasi dengan lesen sah dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Berkuat kuasa 1 Januari 2026, kesemua 15 PBT di Perak tidak akan memperbaharui lesen tersebut.
"Memang kita ambil kira juga dari segi masa untuk mereka uruskan kedai. Itu sebab negeri beri sedikit masa," katanya ketika lawatan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 di Bangunan MBI, pagi tadi.
Tindakan itu selaras keputusan yang dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkaitan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik, Rabu lalu.
Perak menjadi negeri ketujuh melaksanakan larangan penjualan rokok elektronik selepas Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.