fb fb fb fb fb

Prasarana tambah waktu operasi LRT, MRT, bas sempena Ramadan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Operasi waktu puncak pagi dan petang bagi perkhidmatan rel LRT, MRT dan KL Monorel serta bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan diselaraskan sepanjang bulan Ramadan bermula esok.

Prasarana berkata perubahan waktu puncak itu adalah untuk memudahkan perjalanan pengguna sepanjang bulan Ramadan, terutamanya bagi mereka yang ingin menuju ke destinasi masing-masing untuk berbuka puasa.

"Operasi waktu puncak pagi akan ditambah 30 minit iaitu bermula pukul 6.30 pagi sehingga pukul 9.30 pagi berbanding waktu sekarang iaitu dari pukul 7.00 pagi sehingga pukul 9.30 pagi.

"Manakala operasi pada waktu puncak petang ditambah satu jam 30 minit bermula dari pukul 4.00 petang sehingga pukul 8.00 malam, berbanding pukul 5.00 petang hingga pukul 7.30 petang waktu sekarang," menurut kenyataan itu.

Prasarana berharap perjalanan pengguna akan menjadi lebih lancar dengan penambahan dan peningkatan kekerapan tren.

Sementara itu,  waktu puncak operasi Rapid Bus di Lembah Klang dan Pulau Pinang, termasuk bas-bas perantara MRT akan turut diselaraskan mengikut jadual yang sama.

Operasi waktu puncak perkhidmatan Rapid Bus di Kuantan adalah seperti biasa.

Prasarana berkata pihaknya turut membuka tiga mini bazar Ramadan di tiga stesen LRT terpilih iaitu Stesen LRT Pasar Seni, Stesen LRT Damai dan Stesen LRT Ampang Park sempena Ramadan ini.

Bagi pengguna di Stesen LRT Sri Rampai, Stesen LRT Taman Melati dan Stesen LRT Gombak, jualan makanan dan minuman berkonsepkan 'grab and go' disediakan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM