fb fb fb fb fb

Prasarana peruntuk RM50 juta baik pulih kemudahan di stesen monorel

KUALA LUMPUR, 23 Mei- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi membaik pulih kemudahan di semua stesen monorelnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara kemudahan tersebut termasuk tandas, lif, eskalator serta kemudahan bagi orang kurang upaya.

"Untuk lif melibatkan tiga stesen iaitu Imbi, Hang Tuah dan Tun Sambanthan. Lif itu akan dibaiki menjelang Oktober akan datang.

"“Empat stesen lagi bagi laluan Raja Chulan, Bukit Nanas, Medan Tuanku dan KL Sentral menjelang Januari 2025 dan tiga lagi stesen iaitu Chow Kit, Titiwangsa dan Maharajela menjelang April 2025,” katanya selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Wisma Monorel di ibu negara.

Beliau turut menambah, pihaknya juga akan meminta Prasarana melantik kontraktor baharu bagi projek baik pulih tersebut berikutan kontraktor sebelum ini telah tamat beroperasi.

Selain daripada itu, projek tersebut melibatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Kesemua kerja-kerja membaik pulih sedang berjalan dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2026.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan akan memastikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperketat garis panduan perkhidmatan tren sewaaan khasnya.

Loke berkata, ini bagi memastikan kejadian seperti penganjuran pesta hiburan yang tular melibatkan syarikat pengangkutan itu tidak lagi berulang.

"Tren itu disewa khas untuk aktiviti korporat dan sebagainya. Jadi aktiviti mungkin tidak dinyatakan dengan jelas kepada pihak KTMB. Tetapi ada garis panduan yang ditetapkan, termasuklah tidak boleh ada minuman alkohol dan sebagainya.

"Jadi itu ditetapkan sebagai syarat. Tapi kadangkala apa yang berlaku itu mungkin diluar kawalan KTMB", katanya.

Katanya, pihak KTMB akan turut memperhalusi dan bersikap lebih tegas terhadap setiap syarat-syarat yang ditetapkan kepada pelanggan bagi perkhidmatan tren tersebut.

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB di media sosial.

aidan