fb fb fb fb fb

PRactitioners umum visi baharu untuk industri PR

Pengerusi PRactitioners, Datuk P Kamalanathan

KUALA LUMPUR, 3 September - Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) mengumumkan visi baharu kepada ahlinya dalam memartabatkan profesion Perhubungan Awam (PR) serta memperkasakan pengamal pada setiap peringkat kerjaya.

Antara yang diperkenalkan iaitu peluang jaringan, pembangunan profesional, perpustakaan sumber, program bimbingan dan pengiktirafan dan anugerah.

Pengerusi PRactitioners, Datuk P. Kamalanthan berkata ia merupakan sebahagian daripada komitmen persatuan dalam membentuk masa depan industri dan memupuk kecemerlangan dalam komunikasi.

"Tujuan kami adalah untuk mewujudkan komuniti global profesional PR yang bersatu, yang mampu menangani cabaran komunikasi yang kompleks pada masa kini.

"Kami membayangkan dunia di mana PR diiktiraf sebagai fungsi strategik yang penting dalam setiap organisasi di mana pengamal dari pelbagai budaya dan latar belakang bekerjasama untuk mendorong perubahan positif," katanya mnenerusi kenyataan.

Tambah Kamalanathan, dengan memupuk kerjasama global, PRactitioners bukan sahaja mampu mengembangkan rangkaian tetapi juga mencipta ekosistem idea dan amalan yang pelbagai untuk memacu industri PR ke hadapan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PRactitioners, Syed Mohammed Idid dalam kenyataan yang sama turut menekankan komitmen organisasi terhadap inklusiviti.

"Matlamat kami adalah untuk menghidupkan seni PR untuk semua tanpa mengira status profesional mereka. Sama ada anda seorang usahawan tunggal, sebahagian daripada agensi kebangsaan, atau bekerja dengan firma PR global.

"Dengan menyediakan sumber dan peluang untuk profesional pada semua peringkat, kami bukan sahaja menyokong kerjaya individu, kami juga memperkayakan keseluruhan ekosistem PR. Pendekatan inklusif ini memastikan industri kami kekal dinamik, inovatif, dan responsif terhadap keperluan pelbagai masyarakat global kita," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN