KUALA LUMPUR, 27 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Indonesia Prabowo Subianto sebagai sahabat setia yang sentiasa mendampinginya, baik ketika berada dalam situasi senang mahupun saat menghadapi cabaran.
Menurut Anwar, sepanjang perjalanan politiknya, tidak ramai yang kekal di sisinya ketika beliau berdepan dugaan, namun Prabowo tidak pernah berpaling meskipun kini memegang jawatan tinggi sebagai Presiden Indonesia.
"Beliau antara sahabat setia yang sentiasa memerhatikan dan mengambil berat dalam ketika duka lara saya yang panjang. Beliau tidak pernah meninggalkan (saya) walaupun ketika itu beliau mempunyai kedudukan dan saya agak terlempar di pelusuk yang jauh," katanya dalam sidang media bersama Prabowo selepas pertemuan dua hala di ibu negara hari ini.
Anwar menambah, meskipun hubungan rapat mereka pernah mengundang ketidakpuasan hati pihak tertentu, ia tidak menggugat kepercayaan dan kesetiaan yang menjadi asas persahabatan mereka.
Dalam pada itu, Presiden Indonesia Prabowo Subianto turut menzahirkan pandangan bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia perlu terus diperkukuh kerana kedua-dua negara berkongsi sejarah, budaya dan pertalian darah yang rapat.
"Malaysia dan Indonesia memiliki kepentingan yang sama. Kita adalah pendiri ASEAN, dengan hubungan sejarah, darah dan budaya yang mendalam. Ini menjadikan hubungan antara kedua negara sangat istimewa. Kita adalah negara serumpun dengan sebahagian besar rakyat kita berkongsi agama yang sama," katanya.
Beliau turut menegaskan perpaduan dan kerjasama erat antara negara-negara ASEAN adalah kunci kepada kestabilan dan pembangunan rantau ini.
Sidang media tersebut diadakan di Menara Berkembar Petronas (KLCC) selepas kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan.