fb fb fb fb fb

Pra-Tahfiz Tabika Kemas akan dilaksana Mac depan

Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi

DUNGUN, 16 Januari- Program Pra-Tahfiz Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas akan dilaksanakan bermula Mac tahun ini dan ia dijangkakan melibatkan 4,000 kelas terpilih seluruh negara.

Ketika ini Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sedang mengenal pasti tenaga pengajar yang akan terlibat dalam program berkenaan.

Ketua Pengarah Kemas Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata Kemas sedang mengenal pasti tenaga pengajar yang akan terlibat dalam program berkenaan.

Kursus kepada 4,000 terlibat akan diadakan pada Februari iaitu cuti persekolahan akhir tahun dengan kerjasama Yayasan Pahang dan Yayasan Pintar.

Ahmad Kamal Idris yakin program tersebut akan berjaya berdasarkan projek rintis yang telah diadakan tahun lalu di Tabika Gong Gemia Kuala Terengganu serta Tabika Felda Triang Satu Pahang.

"Anak-anak di kelas tersebut majoriti dapat menguasai 23 surah walaupun diajar dalam tempoh enam bulan. Kita lihat program ini ada serampang dua mata iaitu dengan melibatkan ibu dan bapa.

"Jadi anak-anak ini akan menghafal di rumah dan ianya merupakan sesuatu perkara yang baik. Ibu dan bapa secara tidak l;angsung akan terlibat sama dengan aktiviti ini," katanya selepas program Khatam Al Quran Peringkat Daerah di Masjid Kampung Serdang di sini.

Pra-Tahfiz dilaksanakan dengan peruntukkan RM20 juta yang telah disalurkan merangkumi kursus dan latihan, modul untuk murid serta guru serta latihan pengukuhan.

Daripada 4,000 kelas di seluruh negara, Johor paling banyak kelas yang akan terlibat iaitu 542 diikuti Selangor dan Terengganu 460 kelas.

Ia akan membabitkan kira-kira 70,000 murid Tabika Kemas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI