fb fb fb fb fb

PR1MA, Rumah Makmur & RRP: Pahang sediakan lebih banyak kediaman mampu milik

Datuk Seri Wan Rosdy menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah PR1MA Pahang, Rumah Makmur Bandar Jengka dan Pelancaran Rumah Rakyat Pahang Fasa 5 di Maran / RTM

MARAN, 14 Februari- Prihatin terhadap keperluan semasa, Kerajaan Negeri Pahang mempelbagaikan program perumahan mengikut kemampuan agar setiap lapisan rakyat mempu memiliki kediaman sendiri.

Malah, pada tahun ini sahaja sebanyak 336 Rumah Rakyat Pahang (RRP) telah diperuntukkan kepada 42 DUN di negeri ini yang diberikan secara percuma kepada golongan miskin tegar serta rumah yang uzur.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kos pembinaan rumah RRP yang bernilai RM80,000 setiap unit itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri melibatkan peruntukkan RM26.9 juta tahun ini.

"Setakat ini permintaan sangat tinggi, Kerajaan Negeri terpaksa menilai satu persatu dan saya berharap siapa yang mampu beli rumah PR1MA, yang tidak mampu beli Rumah Makmur dan selebihnya, wakil rakyat akan mengesyorkan di kawasan masing-masing setahun, sebanyak lapan buah rumah akan bagi setiap adun kawasan," katanya.

Beliau berkata, bagi program perumahan PR1MA Pahang, sebanyak 173 projek telah diluluskan melibatkan lebih 42,061 unit rumah berkonsepkan Semi D yang dijual pada harga RM150,000.

Manakala, bagi rumah Makmur, sebanyak 7,777 buah rumah di seluruh Pahang dirancang untuk dibina dengan 87 unit telah siap, 411 unit dalam pembinaan, manakala 7,279 unit lagi dalam perancangan. 

Rumah Makmur berkenaan dijual pada harga RM80,000 seunit serta dikhususkan untuk rakyat berpendapatan RM5,000 sebulan ke bawah.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah PR1MA Pahang, Rumah Makmur Bandar Jengka dan Pelancaran Rumah Rakyat Pahang Fasa 5 di Maran.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE