fb fb fb fb fb

PPZ MAIWP terima zakat perniagaan 17 syarikat berjumlah RM1.056 juta

Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima zakat perniagaan daripada 17 syarikat korporat bagi haul 2025 membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.056 juta. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, zakat perniagaan adalah penyumbang kedua terbesar selepas zakat pendapatan, dan hasilnya membantu lebih 34,000 ketua keluarga asnaf setiap bulan.

"Saya mengajak rakan-rakan dari 17 syarikat ini, untuk terus menyumbang zakat kepada MAIWP. Kemudian saya mengajak rakan-rakan lain untuk berdakwah dan supaya mereka menyumbang zakat kepada PPZ MAIWP.

"Kita rasa bersyukur sebab syarikat-syarikat ini ada rasa tanggungjawab agama untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Dia tahu bahawa dengan bayar zakat ini, beri sumbangan, bersedekah, tidak akan langsung untuk mengurangkan keuntungan pada perniagaan.

"Bahkan mereka yakin bahawa perniagaan mereka ini akan terus maju dan akan dapat keuntungan yang berlipat kali ganda," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pembayar Zakat Perniagaan di ibu negara. 

Ia diadakan sebagai tanda apresiasi atas komitmen sektor korporat menyokong kesejahteraan masyarakat melalui agihan zakat yang telus dan berkesan.

Pada masa sama, beliau turut menggalakkan lebih banyak syarikat melaksanakan potongan zakat pendapatan kakitangan, dengan kadar wakalah sehingga 37.5 peratus bagi syarikat yang mencapai 80 peratus penyertaan pekerja Muslim.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI