LABUAN, 27 Jun-Seramai 100 pelajar asnaf di Labuan menerima bantuan berbentuk pendidikan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM260,000.
Jumlah tersebut disumbangkan oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Bank Rakyat menerusi Program Intelek Asnaf 2024 menerusi zakat wakalah perniagannya.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, kerjasama strategik itu memfokuskan bantuan pendidikan kepada anak asnaf kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan lebih sempurna.
"Jadi kita harapkan pelajar-pelajar ini dapat belajar bersungguh-sungguh dapat menimba ilmu tanpa rasa ketinggalan dari sudut perkembangan ilmu yang ada di sekolah-sekolah dan sebagainya supaya mereka dapat mengorak kejayaan yang lebih cemerlang dan di samping itu dapat mengubah nasib keluarga", katanya demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran program itu yang berlangsung di SMK Rancha-Rancha di sini.
Sementara itu, pakej pendidikan yang disediakan kepada penerima berkenaan antaranya pakej tuisyen secara dalam talian selama 10 bulan bagi 10 subjek teras, peranti pintar serta data internet untuk tempoh 10 bulan.
Hadir sama, Ketua Wilayah Sabah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Md. Azmi Mohd Taib.