fb fb fb fb fb

Portal KKMNOW, usaha KKM tambah baik penyampaian data kesihatan negara

PUTRAJAYA, 5 Oktober- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan satu lagi inisiatif dikenali portal KKMNOW bagi menambah baik penyampaian data kesihatan yang tepat, terkini dan relevan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata ia kesinambungan kepada Portal COVIDNOW, selaras pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.

Ia juga usaha KKM dalam mewujudkan satu platform bersepadu bagi tujuan perkongsian serta rujukan data oleh pengurusan KKM dan seluruh rakyat Malaysia.

"Lebih banyak lagi set-set data yang ada di dalam KKM akan dipamerkan termasuklah fasiliti kesihatan, data yang berkaitan dengan pendermaan darah, data ikrar pendermaan organ dan setiap minggu kita akan tambah set data yang baru supaya rakyat Malaysia dan juga pengguna-pengguna KKMNOW boleh memanfaatkan data itu secara menyeluruh dan telus, yang disampaikan melalui KKMNOW," kata Khairy kepada RTM selepas majlis pelancaran itu.


(Logo portal KKMNOW)

Tambahnya, selari dengan aspirasi Kerajaan, MyDigital, portal KKMNOW bukan sahaja direka untuk memaparkan data-data kesihatan tetapi juga melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi.

Beliau turut memaklumkan KKM telah menjalankan kolaborasi strategik bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semasa pembangunan portal tersebut.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa keselamatan dan kerahsiaan data peribadi pesakit akan terus menjadi keutamaan dalam pengurusan data kesihatan.

Media Baharu