
KUALA LUMPUR, 12 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini memperkasakan perkhidmatan dalam talian dengan menawarkan 33 jenis urus niaga menerusi portal rasminya dan 16 kemudahan melalui aplikasi MyJPJ bagi memudahkan urusan rakyat tanpa perlu hadir ke kaunter fizikal.
- Pendigitalan JPJ membantu menjimatkan kos petrol akibat kenaikan harga petroleum di pasaran global.
- Perkhidmatan atas talian membolehkan pembaharuan LKM, cetak semula maklumat kenderaan, cabutan maklumat dan permohonan henti operasi sementara.
- Aplikasi MyJPJ menyediakan pengisytiharan e-hailing, semakan nombor pendaftaran, perkongsian LKM digital dan permohonan Lesen Memandu Kompeten.
- JPJ menggalakkan penggunaan platform digital untuk perkhidmatan pantas, cekap dan mesra rakyat bagi urusan tidak memerlukan kehadiran fizikal.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah pendigitalan tersebut merupakan inisiatif praktikal bagi membantu rakyat menjimatkan kos petrol susulan ketidaktentuan harga petroleum di pasaran global ketika ini akibat konflik Asia Barat.
“Konflik yang berlarutan melebihi sebulan ini telah memberi tekanan kepada pasaran global memandangkan kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia melalui kawasan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Keadaan itu menyebabkan peningkatan ketara harga minyak mentah dunia, sekali gus memberi kesan langsung kepada harga petroleum di Malaysia serta menambah beban kos sara hidup rakyat.
“Pendekatan urusan di hujung jari bukan sahaja memudahkan pelanggan, malah membantu menjimatkan kos petrol, mengurangkan masa perjalanan serta mengelakkan kesesakan di pejabat JPJ,” jelasnya.
Antara perkhidmatan yang boleh dilaksanakan menerusi portal rasmi termasuklah pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), salinan serta cetakan semula maklumat kenderaan, cabutan maklumat kenderaan dan permohonan henti operasi sementara atau lay up.
Manakala bagi aplikasi MyJPJ, antara kemudahan yang disediakan adalah pengisytiharan kenderaan perkhidmatan e-hailing, semakan nombor pendaftaran terkini, perkongsian LKM digital serta permohonan Lesen Memandu Kompeten (CDL).
Datuk Aedy Fadly turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya kedua-dua platform digital itu bagi semua urusan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal, selaras aspirasi kerajaan ke arah penyampaian perkhidmatan lebih cekap, pantas dan mesra rakyat.