fb fb fb fb fb

Polis tingkat operasi penguatkuasaan kenderaan berat mulai hari ini

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 21 September - Operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dan perdagangan di ibu negara akan ditingkatkan bermula hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata ia susulan kemalangan maut membabitkan sebuah lori merempuh 14 kenderaan yang meragut dua nyawa penunggang motosikal di Persiaran Utara, Putrajaya, pada Rabu.

Katanya operasi penguatkuasaan akan ditumpukan di laluan keluar dan masuk ke ibu negara serta Putrajaya.

(Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid)

"Kita tegaskan di sini kepada semua pemilik kenderaan perdagangan, pastikan kenderaan anda itu berada dalam keadaan yang sesuai digunakan di jalan raya, kalau tidak kita akan sita dan tidak ada kompromi pada perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa kedua, di sini.

Dalam kejadian pukul 10.14 pagi semalam, dua penunggang motosikal maut manakala tujuh cedera apabila sebuah treler merempuh 14 kenderaan, termasuk motosikal anggota trafik, di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong.

Sementara itu, Allaudeen berkata permohonan reman ke atas pemandu treler berusia 25 tahun itu bagi membantu siasatan akan dilakukan di mahkamah hari ini.

Katanya, pihaknya masih menunggu laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Puspakom) bagi melengkapkan siasatan.

Media Baharu