fb fb fb fb fb

Polis tiada maklumat Jho Low sembunyi di Myanmar

PDRM menjalin kerjasama dengan INTERPOL serta ASEANAPOL dan buat masa ini tiada maklumat diterima dari Myanmar /FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 22 November - Polis tidak mendapat sebarang maklumat mengenai keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa bersembunyi di Myanmar.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak berkuasa Myanmar tidak berkongsi sebarang maklumat berhubung perkara itu, memandangkan negara berkenaan turut berada dalam Polis ASEAN (ASEANAPOL).

“Apa juga maklumat yang ada, kita akan kongsi termasuk dengan ASEANAPOL. Buat masa ini kita tiada apa-apa maklumat dan Myanmar juga tidak memberi sebarang makluman.

"Kita mempunyai kerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan ASEANAPOL, saya turut menyertai perhimpunan agung INTERPOL baru baru ini. Apa-apa maklumat kita akan berkongsi termasuk dengan Myanmar," katanya.

Razarudin berkata demikian selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) 2024 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini.

Sebelum ini peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau percaya Jho Low bersembunyi di Myanmar.

Beliau mencapai kesimpulan ini berdasarkan keterangan bekas peguam dalaman 1MDB Jasmine Loo di mahkamah.

Trainee