fb fb fb fb fb

Polis terima enam laporan terhadap 'Kak Long Dungun'

KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Polis menerima enam laporan terhadap Wan Noor Baizura atau dikenali dengan gelaran 'Kak Long Dungun' selepas videonya yang didakwa menghina golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tular di media sosial sejak minggu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, enam laporan tersebut masing-masing satu diterima polis Terengganu, Johor, Perak dan Kuala Lumpur manakala dua lagi laporan dibuat di Selangor.

"Laporan diterima daripada mereka yang tidak berpuas hati, khususnya golongan OKU yang berasa terhina dengan perlakuan wanita terbabit mengajuk pergerakan dan mimik muka golongan berkenaan," katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Kontinjen Terengganu di sini.

(Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa)

Tambah beliau, Polis Terengganu menyerahkan siasatan kes tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memandangkan pihak berkenaan memulakan siasatan selepas menerima laporan daripada seorang individu yang juga golongan OKU fizikal.

"Kita akan membantu sekiranya Polis Selangor memerlukan rakaman percakapan dan sebagainya untuk tindakan lanjut," katanya lagi.

Media Baharu