fb fb fb fb fb

Polis siasat kekecohan ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu

Kekecohan di dalam dewan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam berjaya dikawal sebelum perhimpunan diteruskan tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda.

SHAH ALAM, 7 September - Polis membuka kertas siasatan berhubung kekecohan yang berlaku semasa Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 12.18 tengah malam daripada ketua keselamatan parti berkenaan.

“Ketika ucapan Presiden Bersatu berlangsung, dua lelaki Melayu yang juga ahli parti bangun dan menjerit hingga mengganggu ucapan berkenaan. Pengadu yang bertugas cuba menenangkan salah seorang, namun beliau ditarik dari belakang hingga terjatuh sebelum berlaku kekecohan di dalam dewan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, keadaan berjaya dikawal oleh beberapa ahli Bersatu yang membawa keluar kedua-dua lelaki terbabit, dan perhimpunan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000, jika sabit kesalahan. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil kerana kelakuan aib, yang membawa hukuman denda sehingga RM100.

Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Mohd Afandi Ahmad di talian 016-725 2948.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN