fb fb fb fb fb

Polis perketat kawalan di pintu sempadan negara

Foto Hiasan

IPOH, 8 November - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketat kawalan keselamatan di pintu masuk negara dalam usaha melindungi individu yang mungkin menjadi sasaran pihak tertentu dalam isu berkaitan konflik Israel-Palestin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tindakan susulan akan diambil sekiranya terdapat cubaan daripada mana-mana pihak untuk melanggar undang-undang negara.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan setakat ini, rekod yang kita ada Insya-Allah kita dapat kesan lebih awal terhadap tindakan-tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Kalau dulu dalam konteks IS, daripada tahun 2012 sampailah ancamannya pada tahun 2023 ada 26 cubaan serangan yang dapat dipatahkan oleh pihak polis sebeleum mereka membuat serangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ke-54 69 Komando Pasukan Gerakan Khas di Padang Kawad Sultan Nazrin Shah, di sini.

Tambah Ayob, pihaknya memberi jaminan bahawa isu keselamatan kepada rakyat akan terus diberikan perhatian sewajarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ayob berkata kertas siasatan kes ugutan terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah lengkap dan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

"Kertas siasatan kita sudah hantar pada pihak AGC dan dituduh di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita sudah dapat arahan lanjut untuk kita dapatkan laporan forensik daripada SKMM jadi mereka akan dikesan, ditangkap dan dituduh," katanya.

Polis pada Isnin telah menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di Setapak bagi membantu siasatan berhubung hantaran tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN