
IPOH, 14 Februari– Polis Perak berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan migran dalam satu operasi di daerah Bagan Datuk pada Jumaat (13 Februari).
- Serbuan di Bagan Datuk menahan 29 migran, termasuk warga Indonesia dan Bangladesh, bersama beg pakaian.
- Dua suspek tekong dan transporter ditahan; reman 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan 2012.
- 34 migran direman 14 hari mengikut Akta Imigresen; dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk pengesahan.
- Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Akta Imigresen; polis puji kerjasama masyarakat dan agensi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati 29 individu terdiri daripada 25 lelaki dan empat wanita dewasa sedang berkumpul bersama beg pakaian, dipercayai untuk diseludup keluar menggunakan laluan laut.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 21 lelaki warga Indonesia, empat lelaki warga Bangladesh dan empat wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 55 tahun berjaya ditahan.
“Serbuan dijalankan hasil maklumat awam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk.”
“Operasi kira-kira pukul 6.15 petang itu dilakukan di kawasan semak berhampiran kebun kelapa sawit Sungai Payung, Selekoh,” kata kenyataan itu.
Dalam serbuan berasingan di lokasi sama, seorang tekong darat warga Indonesia berusia 44 tahun turut ditahan.
Pada pukul 9.40 malam, polis menahan seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun yang dipercayai bertindak sebagai transporter darat di sebuah hotel di Hutan Melintang, serta merampas sebuah kereta.
Kedua-dua suspek didakwa menguruskan makanan dan pengangkutan migran yang cuba keluar dari negara secara tidak sah.
“Operasi diteruskan keesokan paginya apabila lima lagi migran Indonesia, terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 36 tahun, ditahan di tepi jalan Kampung Sungai Payung, Selekoh,” tambah kenyataan itu.
Kesemua tekong dan transporter direman selama 28 hari bermula hari ini hingga 13 Mac depan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Sementara itu, 34 migran direman 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan akan dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk tujuan pengesahan identiti serta rekod keluar masuk negara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Datuk Noor Hisam berkata kejayaan operasi tersebut adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan agensi penguat kuasa, khususnya polis, serta menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi memastikan Perak kekal aman dan selamat.