IPOH, 20 Mac – Polis Perak telah menerima sebanyak 818 permohonan permit untuk menjual bunga api dan mercun di seluruh negeri sehingga 14 Mac lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 415 permohonan telah diluluskan, 350 masih dalam proses, manakala baki 53 permohonan ditolak.
Menurut beliau, permit yang diluluskan sah untuk tempoh sebulan, namun beberapa faktor menyebabkan sebahagian permohonan tidak dapat dipertimbangkan.
"Antara sebab permohonan ditolak adalah pemohon mempunyai rekod jenayah, lokasi jualan yang tidak sesuai, tempat penyimpanan mercun yang tidak menepati syarat, serta permohonan yang tidak teratur, termasuk nama bertindih dalam beberapa permohonan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Setakat ini, pihak polis belum menerima sebarang laporan mengenai penjualan mercun secara tidak sah.
Bagaimanapun, pemantauan akan diteruskan dan sebarang kesalahan boleh disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1975.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan bermain mercun serta bunga api di lokasi yang sesuai.