
KUALA LUMPUR, 7 Februari – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyertai Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang akan berlangsung di hadapan kompleks beli-belah Sogo pada pukul 8 malam hari ini, bagi mengelakkan sebarang gangguan keselamatan dan ketenteraman awam.
- Orang ramai dinasihatkan tidak sertai Himpunan GARAH di Sogo malam ini untuk elak gangguan keselamatan dan ketenteraman awam.
- Keputusan dibuat selepas risikan polis dan maklum balas pihak berkepentingan termasuk pemilik premis sekitar lokasi.
- Polis terima maklumat kemungkinan pecah keamanan dan ancaman keselamatan kerana kawasan dijangka sesak pembeli.
- Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar arahan atau cuba mencetuskan kekacauan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan termasuk pemilik premis di sekitar lokasi perhimpunan berkenaan.
Beliau bekata, polis turut menerima maklumat risikan yang menunjukkan kemungkinan berlakunya pecah keamanan serta ancaman keselamatan kepada masyarakat awam, memandangkan kawasan berkenaan dijangka dipenuhi orang ramai yang hadir untuk membeli-belah bersempena sambutan beberapa perayaan.
“Setelah meneliti semua faktor dan mengambil kira aspek keselamatan awam, polis memutuskan untuk tidak membenarkan perhimpunan ini diteruskan kerana ia berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada orang awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar arahan atau cuba mencetuskan kekacauan serta mengganggu gugat keselamatan awam di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 3 Februari lalu, polis menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH mengenai perancangan perhimpunan aman di kawasan tersebut dan susulan itu, polis telah menjalankan risikan dan perbincangan bersama penganjur dua hari kemudian.
Bagaimanapun, pada 6 Februari, polis menerima surat bantahan daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Kompleks Pertama, Harissons serta beberapa premis lain di sekitar kawasan itu yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan dan operasi perniagaan mereka.