fb fb fb fb fb

Polis musnahkan 57 bom ditemukan pekerja besi lama

FOTO FB Polis Johor

KUALA LUMPUR, 20 Januari- Sejumlah 57 bom jenis Artillery Shell berjaya dimusnahkan oleh Unit Pemusnahan Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor, Khamis lalu.

55 daripadanya adalah bom Artillery Shell 40 milimeter (mm) dan dua lagi jenis Artillery Shell 130mm.

"Pekerja syarikat skrap besi lama menemui bom lama (terbabit) semasa menjalankan tugas skrap di kawasan tersebut (sebelum membuat laporan polis)," menurut kenyataan dalam Facebook Polis Johor, semalam.

Tindakan pemusnahan dijalankan menggunakan kaedah elektrik melibatkan pasukan UPB dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Dalam operasi itu, tiada sebarangan kemalangan jiwa serta kerosakan harta benda berlaku.

Polis juga mengingatkan masyarakat sekiranya menjumpai objek mencurigakan atau dipercayai bom supaya lapor segera kepada polis berhampiran.

"Diingatkan jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara tidak diingini," ujarnya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA