IPOH, 19 Mei- Sebutir bom jenis Artileri 155 milimeter ditemui seorang pekerja tapak projek di sebuah kawasan lapang di Sungai Tumbuh, Bandar Universiti, Seri Iskandar semalam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Hafezul Helmi Hamzah berkata lelaki tempatan berusia 55 tahun itu menjumpai bom seberat 35 kilogram tersebut ketika menjalankan kerja-kerja rutin pada 8 malam.
Beliau berkata Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah digerakkan ke lokasi sebelum bom itu dimusnahkan dengan menggunakan teknik 'high-order detonation in situ' di tempat kejadian.
“Kaedah secara 'in situ' adalah bom lama yg dijumpai itu akan dimusnahkan di tempat asalnya...ketua UPB akan membuat penilaian dan keputusannya untuk bom itu diletupkan secara selamat tanpa berlaku kemalangan melibatkan nyawa," katanya.
Operasi tamat 9 pagi tadi dan siasatan lanjut mendapati kawasan berkenaan selamat.- BERNAMA