KUALA LUMPUR, 8 September - Hari pertama pelaksanaan Kempen Advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) oleh Polis Kuala Lumpur menyaksikan 500 notis advokasi dikeluarkan.
Kempen bermula Sabtu lalu di sekitar jalan-jalan utama di ibu negara.
Menurut kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus, kempen bertujuan mendidik pengguna jalan raya mengenai kepentingan mematuhi undang-undang trafik, terutama di pusat bandar sejajar dengan bandar raya moden yang setaraf dengannya.
"Masih ramai pengguna jalan raya yang leka dan tidak mematuhi peraturan trafik. Kempen ini bersifat advokasi terlebih dahulu, namun tindakan saman akan diambil selepas tempoh advokasi ini berakhir," katanya.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengeluarkan 23 notis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 126 notis, manakala empat kenderaan dikenakan tindakan tunda dan 24 kenderaan diperiksa.
Kempen itu akan diteruskan sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.