KOTA BHARU, 27 Februari- Sindiket penyeludupan di Kelantan dikesan menukar modus operandi dengan menggunakan laluan laut bagi mengelak sekatan pihak berkuasa.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perubahan itu berlaku susulan tindakan tegas Polis Kelantan menguatkuasakan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak 1 Disember tahun lalu.
"Setelah kita mengetatkan kawalan di Sungai Golok, sindiket ini mengubah modus operandi dengan menggunakan laluan laut melalui Kuala Besar di Kota Bharu, Tak Bai di Pengkalan Kubor, serta Semerak dan Tok Bali di Pasir Puteh.
"Justeru, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diminta untuk memperketatkan kawalan di kawasan perairan bagi mengekang aktiviti ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata taktik baharu itu dikesan hasil maklumat risikan serta beberapa tangkapan yang telah dilakukan.
Semalam, Polis Marin berjaya menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berusia dua hingga 38 tahun yang cuba memasuki negara ini melalui jalan laut di Kampung Pulau Ular, Tumpat.
Semakan mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.