
TUMPAT, 15 Februari – Polis Kelantan mengenal pasti 42 lokasi panas (‘hotspot’) iaitu kawasan yang kerap berlakunya kesesakan dan 67 lokasi ‘blackspot’, lokasi yang kerap berlakunya kemalangan di seluruh negeri terutama sempena Op Selamat 25 2026, bermula hari ini.
- Polis mengenal pasti lokasi utama kesesakan termasuk Gua Musang, Machang, Ketereh dan Kok Lanas untuk tindakan segera.
- Penempatan anggota di persimpangan lampu isyarat dan penugasan 24 jam melalui Skuad Jem dan Op Lancar.
- Penguatkuasaan fokus pada enam kesalahan utama pemanduan untuk kurangkan kemalangan.
- Rekod menunjukkan penurunan kes kemalangan dan kemalangan maut berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, lokasi tersebut melibatkan jalan-jalan utama yang menjadi tumpuan perantau khususnya ketika musim perayaan.
“Pastinya jalan sepanjang Gua Musang–Machang melibatkan seramai lebih 230 pegawai dan 200 anggota.
“Kesesakan tidak semestinya berlaku di KB (Kota Bharu) sahaja, tetapi juga sering berlaku di Gua Musang, Machang, serta di Ketereh dan Kok Lanas disebabkan lampu isyarat.
“Kita telah mengenal pasti kawasan yang mempunyai lampu isyarat dan menempatkan anggota di lokasi tersebut serta mengambil langkah sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Advokasi, Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalanraya sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di Pasir Pekan, di sini.
Selain itu, Datuk Mohd Yusoff berkata, pihaknya telah mewujudkan Skuad Jem dan Op Lancar bagi melancarkan aliran trafik dan penggiliran penugasan anggota selama 24 jam di lokasi yang telah ditetapkan oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah masing-masing; melibatkan 109 lokasi.
Penguatkuasaan melibatkan enam kesalahan utama termasuk memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
Berdasarkan rekod, kes kemalangan sepanjang Op Selamat Tahun Baharu Cina 23 tahun lalu mencatatkan penurunan 10 peratus iaitu 24 kes berbanding tahun 2024.
Kemalangan maut juga mencatat penurunan iaitu 63 peratus atau lima kes.