Polis Kelantan hadkan permit jualan mercun, bunga api bersempena Aidilfitri

KOTA BHARU, 16 Februari – Polis Kelantan akan mengehadkan pengeluaran permit jualan mercun dan bunga api di negeri itu bersempena sambutan Aidilfitri bagi mengelakkan lambakan peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis Kelantan hadkan pengeluaran permit jualan mercun dan bunga api sempena Aidilfitri untuk elakkan lambakan peniaga.
  • Langkah diambil susulan rungutan peniaga yang mengalami kerugian akibat terlalu ramai pemegang lesen tahun lalu.
  • Pengeluaran permit dianggarkan antara 80 hingga 100 di Kota Bharu, berbanding 176 tahun lalu.
  • Permohonan permit adalah wajib dan tindakan tegas terhadap peniaga tanpa lesen sah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata langkah berkenaan diambil susulan rungutan peniaga yang mengalami kerugian apabila terlalu ramai pemegang lesen jualan mercun dan bunga api diluluskan pada tahun lalu.

Beliau berkata, setakat ini permohonan permit jualan bagi Aidilfitri masih belum dibuka, namun sebanyak 45 lesen telah diluluskan di seluruh Kelantan sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Bagi Aidilfitri, pengeluaran permit akan dihadkan khususnya di Kota Bharu. Tahun lalu, sebanyak 176 permit dikeluarkan di daerah ini sahaja, menyebabkan lambakan peniaga. Sehubungan itu, bagi tahun ini, jumlah permit dianggarkan antara 80 hingga 100 sahaja,” katanya.

Datuk Mohd Yusoff berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Superintendan Polis dan Majlis Serah Terima Tugas beberapa jawatan kanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan permohonan permit jualan mercun dan bunga api adalah wajib dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.