Polis Kedah tingkat kawalan keselamatan sempena Thaipusam

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK)/Foto RTM

ALOR SETAR, 29 Januari – Seramai 494 pegawai dan anggota polis di Kedah akan ditugaskan sepanjang sambutan perayaan Thaipusam yang berlangsung selama empat hari, bermula Sabtu hingga 3 Februari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 494 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang sambutan Thaipusam selama empat hari.
  • Tindakan bagi memastikan kelancaran, keselamatan, ketenteraman awam serta kawalan lalu lintas.
  • Penutupan jalan berperingkat melibatkan Jalan Sekerat, Jalan Pasar dan Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil.
  • Sambutan melibatkan tiga kuil utama di sekitar bandar Sungai Petani dan cuti peristiwa 1 Februari.

Langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan ketenteraman awam, termasuk kawalan lalu lintas serta pemantauan keseluruhan sambutan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata dianggarkan antara 50,000 hingga 80,000 penganut Hindu, termasuk pengunjung dari luar negeri dijangka hadir sepanjang tempoh perayaan tersebut.

“Sama ada yang menyambut, memerhati atau sama-sama meraikannya, berdasarkan rekod empat hingga lima tahun lalu, kesalahan atau jenayah kecil lebih tertumpu kepada kes harta benda.”

“Jadi, saya nasihatkan penganut Hindu agar sentiasa berhati-hati dan pastikan kenderaan dikunci, tidak diparkir di tempat tersembunyi dan tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) di sini pada Rabu.

Tambah beliau, penutupan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan melibatkan Jalan Sekerat, Jalan Pasar dan Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil bagi memberi laluan kepada perarakan upacara pal kudam (membawa susu), perarakan kavadi dan Chariot.

Sambutan tahun ini melibatkan tiga buah kuil utama di sekitar bandar Sungai Petani, iaitu Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Kuil Sri Sithi Vinayagar Thirukovil dan Kuil Sri Maha Muniswarar.

Terdahulu, Kedah mengumumkan cuti peristiwa pada 1 Februari ini sempena sambutan Thaipusam, yang dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.