fb fb fb fb fb

Polis Kedah sita 223 kenderaan atas pelbagai kesalahan

FOTO RTM

ALOR SETAR, 2 Januari- 223 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan undang-undang jalan raya dalam Operasi Khas sempena Ambang Tahun Baharu 2024 yang dilaksanakan di seluruh Kedah pada malam Isnin.
 
Operasi berkenaan tertumpu kepada menangani aktiviti jenayah di jalan raya serta samseng jalanan yang melibatkan pengguna jalanraya.
 
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, operasi tersebut disertai 103 pegawai dan 596 anggota polis.

Selain itu, 10 anggota JPJ dan 21 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan, AADK turut menyertai operasi.
 
Dalam operasi tersebut, sebanyak 1,372 kenderaan telah diperiksa.
 
Menurut Fisol, sebanyak 1,055 saman yang melibatkan pelbagai kesalahan
jalan raya telah dikeluarkan.
 
Tambah Fisol, sitaan kenderaan dijalankan mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan komponen kenderaan yang telah diubahsuai boleh dirampas dan dirujuk ke mahkamah untuk tindakan pelupusan.
 
"Saya hendak beri amaran kepada semua Warga Kedah terutama remaja-remaja ataupun pengguna-pengguna motorsikal yang gemar membuat modifikasi ataupun ubahsuai motosikal, mulai tahun ini kita akan pergi bawah Seksyen 64 (1) APJ 1987 yang mana kita akan mohon kepada mahkamah untuk barang-barang itu disita dan dilupuskan", katanya demikian kepada pemberita pada sidang media di IPK Kedah di sini.

Dalam operasi yang sama, 12 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan.
 
Antaranya, memandu dibawah pengaruh alkohol, memandu secara melulu dan berbahaya, serta penyalahgunaan dadah.
 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD