KAPIT, 12 Mac- Jenazah mendiang Sarjan Jonathan Lambet, anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kapit yang terkorban dalam kejadian bot karam di Sungai Baleh dijangka dikebumikan esok di Perkuburan Kristian Saint Theresa, Bau.
Upacara penghormatan terakhir kepada mendiang dilakukan di pekarangan IPD Kapit pagi tadi.
Ia dihadiri Ketua Polis Kapit, DSP Rohana Nanu dan turut dihadiri Ketua Polis IPD Dalat, Song dan Kanowit serta rakan seperjuangan mendiang di IPD Kapit.
Jenazah telah dibawa dari rumah mayat Hospital Kapit kira-kira pukul 8.45 pagi ke pekarangan IPD Kapit untuk upacara penghormatan tersebut.
Mendiang meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan.
Menurut Rohana, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa bot itu yang masih hilang iaitu Konstabel Iskandar Ibrahim diteruskan hari ini yang memasuki hari keenam.
Setakat pukul 6.00 petang tadi, mangsa, 28 tahun yang juga anggota polis IPD Kapit itu masih tidak ditemui.
Operasi SAR ditangguh dan akan diteruskan esok.