
BAGAN SERAI, 17 Februari- Pergerakan trafik di lebuh raya utama dan jalan Persekutuan di seluruh negara dijangka meningkat serta sesak bermula esok susulan orang ramai kembali ke ibu kota selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
- Peningkatan trafik dan kesesakan dijangka bermula esok, tertumpu dari utara dan selatan menuju Lembah Klang.
- 10,000 pegawai dan anggota digerakkan dalam Op Selamat 25 bersama agensi lain untuk penguatkuasaan dan pemantauan.
- Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan, pantau maklumat trafik rasmi, dan laporan segera kemalangan atau kerosakan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata peningkatan aliran kenderaan dijangka tertumpu dari arah utara dan selatan menuju ke Lembah Klang.
Beliau berkata seramai 10,000 pegawai dan anggota digerakkan menerusi Op Selamat 25 dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang tempoh berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal. Perancangan yang baik dapat membantu mengelakkan kesesakan teruk sehingga tempoh perjalanan menjadi terlalu lama,” katanya.
Tambah beliau, rondaan dan pemantauan akan dipertingkatkan termasuk tindakan segera sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan kenderaan bagi mengelakkan kesesakan berpanjangan.
Orang ramai juga digalakkan mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi platform media sosial rasmi JSPT dan pengendali lebuh raya sebelum memulakan perjalanan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gunung Semanggol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, di sini.