fb fb fb fb fb

Polis hentikan operasi mencari kanak-kanak empat tahun hilang

KUCHING 20 Mac- Operasi mencari kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang hilang, Eric Chang Wei Jie, di sekitar perairan sungai Muara Tebas di sini sejak Ahad lalu telah dihentikan.

 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ashmon Bajah berkata walaupun pelbagai inisiatif pencarian telah diambil oleh pasukan operasi, pencarian Eric telah dihadkan oleh beberapa faktor.

 

Jelasnya, faktor bentuk muka bumi, ancaman haiwan liar, cuaca dan keadaan air pasang surut di lokasi menyukarkan operasi mencari.

 

“Sehingga kini, operasi mencari tidak menemui sebarang petunjuk dan ia dihentikan pada jam 6 petang hari ini.

 

“Pasukan penyiasat akan terus menumpukan kepada penyiasatan saintifik bagi membongkar petunjuk yang ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

 

Ashmon berkata, polis turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai berhubung kes itu.

 

Pada 14 Mac lalu, polis mengklasifikasikan kehilangan Eric sebagai kes bunuh dengan dua suspek iaitu pasangan penjaga yang telah ditahan dan direman untuk siasatan lanjut.

 

Eric dilaporkan hilang dari sebuah rumah di kawasan perumahan Bintawa, pada 7 Mac lalu.


(Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ashmon Bajah)

Media Baharu