fb fb fb fb fb

Polis buru dua suspek tembak kenderaan di Kelantan

Foto RTM

PASIR MAS, 4 Mei - Polis Kelantan sedang mengesan dua suspek yang terlibat dalam melepaskan tembakan melibatkan dua kenderaan di sebuah rumah di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas, Pasir Mas, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada pukul 4.42 pagi.

Muhamad Zaki berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 3.00 pagi ketika mangsa bersama sepupunya sedang tidur sebelum terdengar bunyi empat das tembakan dilepaskan.

Ujar Muhamad Zaki, mangsa yang terkejut kemudiannya bergegas keluar dan mendapati dua lelaki (suspek) menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 memecut laju ke arah Bunut Susu, Pasir Mas.

Hasil pemeriksaan pihak polis di tempat kejadian mendapati terdapat kesan tembakan pada cermin belakang dan cermin sisi penumpang hadapan kereta manakala sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton telah di tembak di bahagian kiri.

Kata Muhamad Zaki,pihaknya turut menjumpai empat kelongsong peluru disyaki jenis 9 mm di atas jalan berhadapan rumah mangsa.

Tambah Muhamad Zaki, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pihak polis dilaporkan sedang mengesan kedua-dua suspek berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD