
KULIM, 19 Januari -Polis akan mengambil keterangan pemandu kereta yang terbabit kejadian kemalangan maut di Jalan Mahang-Kulim, Kedah, petang semalam.
- Tiada tangkapan dibuat setakat ini; pemandu berusia 27 tahun sedang dirawat di Hospital Kulim.
- Tiga mangsa, termasuk dua kanak-kanak dan seorang pekerja kilang, disahkan maut di tempat kejadian.
- Pihak polis meminta saksi atau orang ramai menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1).
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu.
“Pemandu kereta berusia 27 tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Kulim akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu.
“Sementara proses bedah siasat terhadap tiga mangsa yang maut masih dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar,” katanya ketika dihubungi RTM.
DSP Tengku Mohd Faisal meminta saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut agar menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang semalam, pekerja kilang, Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25 tahun bersama dua anaknya, Muhammad Affan Mikhael, dua tahun dan Muhammad Aqeel Afnan, empat tahun maut selepas kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta lain.
Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu kereta yang merempuh kenderaan mangsa sempat menyelamatkan diri sebelum kenderaan tersebut hangus terbakar.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.