fb fb fb fb fb

Polis ambil keterangan Abdul Hadi esok

FOTO FB Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR, 4 Mac- Polis akan mengambil keterangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang esok, berhubung kenyataan beliau bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' pada 20 Februari lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata tarikh tersebut diberikan oleh pegawai khas Abdul Hadi selepas mendapati kesihatan Ahli Parlimen Marang itu semakin baik.

"Kita akan ambil keterangan beliau esok pukul 2.30 petang di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang baharu Datuk Khaw Kok Chin daripada Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam yang baharu Mohd Kamarudin daripada Datuk Seri Hazani Ghazali di sini.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap Abdul Hadi berhubung kenyataan beliau yang disiarkan di portal berita milik PAS pada 20 Februari lepas.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

SITI AISHAH MD ISA