KUALA LUMPUR, 15 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat empat laporan ugutan penyebaran video lucah palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) melibatkan ahli politik.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kes berkenaan disiasat sebagai cubaan pemerasan.
Kes pertama dilaporkan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, yang menerima emel pada 12 September lalu daripada pihak tidak dikenali menuntut bayaran AS$ 100,000 Jika tidak dipenuhi dalam tempoh tiga hari, video lucah palsu menggunakan wajah beliau akan disebarkan di media sosial.
Kes kedua turut melibatkan Ahli Dewan Negara, Datuk Nelson W Angang dengan modus operandi sama, selain dua lagi laporan dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Wong Chia Zhen, dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.
Semua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Datuk M Kumar menegaskan, PDRM dengan kerjasama SKMM sedang mengesan pemilik emel berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau turut memberi amaran keras bahawa mana-mana pihak yang terbabit menghasilkan, menyebarkan atau menggunakan bahan lucah palsu tersebut akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian negara.