fb fb fb fb fb

Pokok tumbang: Rauf harap PBT pantau pokok di KL

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Sebatang pokok yang tumbang di Jalan Pinang di sini hampir mengenai kenderaan yang membawa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hari ini

Susulan kejadian berkenaan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap Pihak berkuasa tempatan (PBT) Kuala Lumpur dapat memantau keadaan pokok-pokok sekitar bandar raya itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang.

Menurut Rauf, insiden berkenaan menyebabkan salah sebuah kenderaan PDRM yang mengiringnya dihempap pokok berkenaan di bahagian belakang.

"Sewaktu kejadian pukul 3.30 petang saya berada di tempat kejadian yang menimpa sebuah kereta, ketika itu kenderaan saya tidak bergerak memandangkan suasana cuaca ketika itu tidak mengizinkan kenderaan saya bergerak.

"Manakala polis yang mengiringi saya baru sahaja melintas di kawasan tersebut tapi malang pokok tersebut menghempap di bahagian belakang kereta pengiring saya. Alhamdulillah saya berada dalam keadaan yang selamat dan kita minta pihak berkuasa dapat memantau pokok-pokok berada di sekitar bandar raya", katanya di sini.

Dalam kejadian berdekatan Jalan Pinang ibu kota petang tadi, angin kuat dan hujan lebat menyebabkan pokok tumbang.

Kejadian menyaksikan tiga buah kereta awam dan lima  buah motosikal awam termasuk sebuah kenderaan PDRM yang bertindak sebagai konvoi "Lead Car" Ketua Menteri Melaka turut terlibat. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD