BALIK PULAU, 22 Oktober- Kejadian pokok tumbang di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, Pulau Pinang, awal pagi tadi mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira lima kilometer dan menyebabkan penduduk terkandas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.12 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong tiba di lokasi 11 minit kemudian.
"Setibanya di lokasi, anggota bertindak menjalankan kerja pemotongan dan pengalihan pokok yang menghalang laluan, selain memastikan tiada risiko bahaya lain.
"Operasi selesai sepenuhnya pada pukul 7.38 pagi," katanya.
Beliau memaklumkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan keadaan kini terkawal.
Setakat ini, tujuh kejadian pokok tumbang direkodkan di Pulau Pinang berikutan hujan lebat sejak malam tadi — tiga di Bayan Lepas, dua di Balik Pulau, manakala masing-masing satu di Paya Terubong dan Teluk Air Tawar.
Kebanyakan kejadian melibatkan pokok tumbang yang melintangi jalan raya dan menghempap kabel elektrik.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir pada pukul 6.00 pagi tadi di beberapa kawasan Pantai Barat Semenanjung termasuk seluruh Pulau Pinang yang dijangka mengalami hujan lebat dan angin kencang.