KANGAR, 27 Mac- Sebuah formasi batu yang dipercayai gerbang laut yang terbentuk jutaan tahun dahulu ditemui 13 kilometer dari pantai terdekat Perlis mempunyai nilai geologi yang tinggi.
Sehubungan itu, Persatuan Penjelajah Alam Negeri Perlis (PNX) sedang berusaha menjadikan gerbang berkenaan sebagai salah satu tapak Geologi Perlis bagi membolehkan ia tidak diusik peradaban.
Formasi batu yang ditemui pada 2021 itu dipercayai berusia sekitar 20,000 tahun dengan kesan pembentukan yang sangat unik selain berbeza dengan gerbang laut lain yang biasa ditemui berhampiran atau di sekitar pesisir pantai.
Ahli Jawatankuasa Hidupan Liar dan Sains Masyarakat PNX, Ahmad Fahmi Ahmad Radzi berkata, sehubungan itu, usaha untuk menjadikan kawasan berkenaan selamat dan tidak terusik sedang giat dijalankan.
"Kita boleh nampak, gerbang laut ini untuk proses terjadinya adalah sangat lama dalam tempoh jutaan tahun dahulu, jadi harini kita buat lawatan bersama Jabatan Mineral & Geosains Malaysia (JMG), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) dan pihak-pihak yang terlibat dalam matlamat kita cuba memelihara dan kita lindungi tempat ini daripada sebarang kerosakan,"katanya.
Gerbang laut berkenaan juga turut mempunyai pelbagai penemuan lain seperti fosil hidupan Laut dan juga kesan hakisan ombak yang dikenali sebagai Takik Laut.