fb fb fb fb fb

PMKS nikmati manfaat inisiatif penghargaan untuk rakyat - Ewon

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick/ Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 24 Julai - Komuniti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan antara kumpulan yang menerima manfaat hasil pengumuman inisiatif Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, langkah kerajaan menangguhkan kenaikan tol, menurunkan harga RON95 serta pemberian tunai sekali beri mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap isu kos sara hidup rakyat.

"Apabila kuasa beli isi rumah meningkat, komuniti PMKS turut mendapat limpahan manfaat ekonomi secara langsung, termasuk para usahawan di luar bandar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, peningkatan peruntukan untuk Program Jualan Rahmah juga akan merancakkan permintaan terhadap barangan harian dan perkhidmatan, sekaligus memberi peluang lebih luas kepada PMKS tempatan untuk berkembang.

"Penurunan harga petrol dan bantuan tunai RM100 amat bermakna kepada usahawan kecil, terutamanya mereka yang beroperasi dari luar bandar ke pekan kerana kos petrol merupakan antara kos terbesar dalam operasi mereka," ujarnya.

Menurut Datuk Ewon, walaupun jumlah bantuan tersebut dilihat kecil bagi sesetengah pihak, namun ia memberi makna besar kepada komuniti PMKS yang masih bergelut mengekalkan kelangsungan perniagaan.

Beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyokong ekonomi tempatan dengan memilih untuk bercuti dalam negara, khususnya ke destinasi pelancongan desa yang diusahakan koperasi dan usahawan PMKS.

Dalam usaha memperluas pasaran PMKS, katanya, kementerian akan terus mempergiat promosi produk dan perkhidmatan tempatan melalui pelbagai program termasuk Hari Koperasi Negara, Karnival Mega 3 Dimensi, dan Showcase Satu Daerah Satu Industri.

"Program Jejak Koperasi juga diteruskan sebagai platform untuk memperkenalkan produk pelancongan koperasi di seluruh negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan indikator ekonomi yang dikongsikan perdana menteri sebagai bukti kepada kestabilan ekonomi dan politik semasa, sekali gus membolehkan kerajaan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat secara berkesan.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI