fb fb fb fb fb

PMKL kecam ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri

PMKL mengecam sekeras-kerasnya ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri oleh seorang individu lelaki ketika operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru. Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 12 September - Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (PMKL) mengecam sekeras-kerasnya ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh seorang lelaki semasa operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru, semalam.

Timbalan Pengerusinya, Affa Syaripuddin menegaskan tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dipolemikkan sehingga mencetuskan ugutan bunuh.

“Isu ini diperbesarkan sehingga Perdana Menteri disentuh. Saya rasa perkara ini tidak patut berlaku. Fahaman berbaur khawarij seperti ini harus dibanteras dengan tegas. Saya berharap pihak polis dapat melaksanakan tugas dengan tegas terhadap ugutan melampaui batas ini,” katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.

Beliau menambah, pelbagai provokasi yang sengaja dicetuskan pihak tertentu telah menyebabkan Perdana Menteri turut menjadi sasaran dalam perkara berkenaan.

“Apabila pelbagai provokasi berlaku semasa operasi pengosongan semalam, ada pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan lalu menimbulkan perkara ini termasuk mengeluarkan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri,” ujarnya.

Terdahulu, seorang lelaki tular di media sosial selepas melemparkan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri ketika kekecohan berlaku dalam operasi pengosongan 37 unit rumah di Kampung Sungai Baru.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN